
KERACUNAN ubat jangan dianggap sebagai perkara remeh. Ia boleh membawa kecelakaan dan berakhir dengan maut.
Masalah ini biasanya boleh berlaku kepada kanak-kanak yang menganggap ubat sebagai gula-gula atau bahan mainan mereka.
Mereka tidak sedar bahaya yang menanti terutamanya ubat untuk merawat penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung boleh menyebabkan keracunan apabila dos yang diambil berlebihan.
Tip Mengelakkan Keracunan Ubat :
1️⃣ Elakkan daripada mengambil ubat di hadapan kanak-kanak kerana mereka selalunya akan cuba meniru perbuatan orang dewasa.
2️⃣ Jangan panggil ubat-ubatan sebagai ‘gula-gula’.
3️⃣ Gunakan penutup botol jenis yang tidak dapat dibuka oleh kanak-kanak untuk menyimpan ubat dan produk kesihatan lain.
4️⃣ Simpan kesemua ubat (preskripsi dan bukan-preskripsi) di dalam bekas asal masing-masing.
5️⃣ Sentiasa pasangkan lampu semasa memberi atau mengambil ubat.
6️⃣ Semak tarikh luput ubat anda dari masa ke semasa. Sekiranya ubat anda tidak dilabel dengan tarikh luput, anda boleh membuat anggapan bahawa ubat tersebut akan luput dalam tempoh 6 bulan selepas anda beli.
7️⃣ Elakkan daripada membuang ubat ke dalam tong sampah yang tidak bertutup di bilik masak atau bilik mandi kerana kebanyakan ubat orang dewasa adalah merbahaya dan ini boleh menyebabkan kematian kanak-kanak dan binatang kecil.
8️⃣ Berhati-hati dengan cara penyimpanan vitamin, terutamanya produk yang mengandungi zat besi kerana ia boleh menyebabkan keracunan jika diambil dalam dos yang tinggi.
9️⃣ Sekiranya bekas ubat tidak mempunyai sebarang label, atau labelnya tidak jelas dan anda tidak dapat membaca cetakan atas label dengan jelas, jangan gunakan ubat berkenaan.
🔟 Pastikan beg yang mengandungi ubat-ubatan disimpan jauh daripada kanak-kanak pada setiap masa.