“Anak tak boleh fokus. Bila saya cakap dengan dia, sekejap sahaja. Dia pandang tempat lain. Kadang-kadang saya tanya lain dia jawab lain.”
Ini antara rintihan ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah tumpuan. Tumpuan merupakan kebolehan :
1️⃣ Fokus pada sesuatu yang dilakukan (Contoh : permainan, makanan)
2️⃣ Mengubah fokus daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain (Contoh : tumpuan daripada permainan kepada ibu bapa)
3️⃣ Kekalkan fokus pada satu jangka masa yang khusus
Tumpuan bersama (joint attention) adalah kebolehan untuk berkongsi fokus ke atas sesuatu (orang, objek, konsep, peristiwa) dengan individu lain. Ia berfungsi sebagai alat rujukan yang menggunakan pandangan dan isyarat yang dikongsi bersama untuk berkomunikasi.
Ia bermula di peringkat awal antara kanak-kanak dan ibu bapa iaitu 9 bulan dan mahir semasa 18 bulan.
Kenapa tumpuan penting dalam komunikasi anak saya ?
Kemahiran tumpuan dan mendengar merupakan kemahiran yang penting dan diperlukan oleh kanak-kanak untuk belajar tentang persekitaran mereka. Selain itu, ia juga membantu kanak-kanak untuk fokus kepada bunyi atau pertuturan serta memahami bunyi atau pertuturan yang diberikan.
Oleh yang demikian, berkongsi tumpuan antara kanak-kanak dengan individu di sekeliling mereka dapat membantu dalam perkembangan bahasa, pertuturan, komunikasi dan akademik. Justeru, ia membantu meningkatkan kualiti hidup mereka di masa hadapan.
Kanak-kanak memerlukan kemahiran tumpuan untuk :
✅ Membentuk sosial interaksi awal antara kanak-kanak dan dewasa
✅ Memahami perkataan dan mengikut arahan dengan lebih tepat
✅ Menambah kosa kata (perkataan)
✅ Membina struktur ayat yang betul
✅ Membentuk bunyi pertuturan yang tepat
✅ Menguasai kemahiran membaca dan menulis
✅ Penglibatan di dalam perbualan serta perbincangan di kelas