DERIA BAU ANDA HILANG ?

Hidung anda tidak dapat menghidu bau ‘perfume’ kegemaran? Atau makanan tidak lagi enak seperti dulu?

Adakah aroma kopi tidak lagi menyegarkan mata anda pada waktu pagi kerana anda tidak dapat menghidunya? Jika jawapannya semua ya, anda mungkin mengalami kehilangan deria bau.

Kehilangan deria bau berlaku apabila terdapat masalah di dalam rongga hidung, struktur hidung, saraf olfaktori (deria bau) ataupun masalah pada otak.

Kebanyakan daripada kita pernah mengalami kehilangan deria bau terutamanya apabila kita demam, selsema dan tersumbat hidung. Di dalam kebanyakan kes sebegini, masalah deria bau bersifat sementara. Mereka yang mengalami gangguan deria bau akan mengalami gangguan deria rasa juga.

Bagaimana kita dapat menghidu bau?

3 elemen adalah perlu bagi memastikan kita dapat menghidu bau dengan sempurna.

1️⃣ Zarah bau / aroma – partikel zarah bau ini dibebaskan daripada sesuatu bahan (contohnya aroma minyak wangi, kopi, bunga). Ianya akan masuk melalui hidung bersama udara semasa kita menarik nafas.

2️⃣ Saraf olfaktori – partikel zarah akan merangsang saraf olfaktori yang terdapat di kedua-dua belah hidung.  Saraf ini terletak di bumbung rongga hidung dan diselaputi oleh mukosa nipis. Saraf olfaktori ini akan membawa isyarat elektrik (impul) ke otak.

3️⃣ Otak – akan mentafsir dan menterjemahkan isyarat elektrik tersebut kepada sesuatu bau yang dikenali.

Terdapat beberapa takrifan kehilangan deria bau seperti :

👉Anosmia – Hilang keseluruhan deria bau
👉Hyposmia – Hilang separa deria bau
👉Hyperosmia – Terlebih rangsang deria bau
👉Phantosmia – Perasaan ada bau di dalam keadaan sebenar tiada bau
👉Parosmia – Kesilapan mentakrif bau yang dihidu

Notis:

Disarankan kepada yang mengalami masalah kesihatan, anda perlulah mendapatkan nasihat dan rawatan lanjut terlebih dahulu daripada pakar perubatan di pusat-pusat perubatan terdekat.

Sebarang penulisan di blog ini adalah hanya bertujuan sebagai maklumat dan bukan untuk merawat penyakit. Kami tidak bertanggungjawab untuk sebarang kecederaan atau kerugian yang dialami hasil daripada maklumat kami keluarkan.

POPULAR

TERKINI

KATEGORI