Prosedur scan atau ultrabunyi (ultrasound) merupakan ujian diagnostik tanpa rasa sakit yang dilakukan kebanyakan wanita semasa tempoh kehamilan.
Gelombang bunyi berfrekuensi tinggi akan bergerak ke dalam rahim dan kembali daripada janin sebagai getaran.
Gema yang dihasilkan akan diterjemah ke isyarat elektrik dan dipancarkan sebagai gambar hitam putih pada monitor – memaparkan tisu lembut dan organ bayi.
Umumnya waktu untuk melakukan scan kandungan pertama adalah berbeza bagi setiap individu.
▪️ Scan awal kehamilan (minggu ke 6-8)
Pemeriksaan ultrabunyi yang dilakukan sekitar minggu ke 6 – 8 kehamilan biasanya disyorkan jika ibu hamil mempunyai gejala kehamilan berisiko tinggi seperti pendarahan, sakit perut, sejarah keguguran kandungan, sejarah kecacatan kelahiran dan komplikasi kehamilan.
Biasanya doktor akan menggunakan prosedur transvaginal probe untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berkaitan degupan jantung bayi, tarikh jangkaan bersalin dan juga perkembangan semasa kehamilan anda.
Doktor juga dapat menentukan sama ada ia kehamilan berganda atau mempunyai risiko kehamilan ektopik – janin membesar di tiub fallopio dan bukannya rahim.
▪️ Imbasan Dating (minggu ke 10-13)
Sekiranya tidak melakukan scan awal kehamilan pada minggu ke 6 – 8, anda mungkin akan menjalani ultrasound dating sekitar 10-13 minggu kehamilan.
Pemeriksaan transabdominal ini akan meramalkan due date, memeriksa degupan janin dan menentukan jumlah bayi dalam kandungan. OB-GYN turut akan memeriksa anatomi asas janin seperti panjang kepala.
Ukuran tersebut penting untuk dilakukan bagi menentukan apakah ukuran janin bersesuaian dengan ukuran sepatutnya berdasarkan haid terakhir ibu hamil.