APA PUNCA UTAMA KEROSAKAN GIGI ANAK ANDA ?

Kerosakan gigi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertama tumbuh. Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan kerosakan pada gigi anak anda.Penjagaan gigi bermula dengan ibu bapa atau penjaga.

Ibu bapa perlu ingat bahawa punca utama kerosakan gigi ialah daripada :
▪️ Cairan
▪️ Air minuman
▪️ Pemakanan yang bergula diberi kepada bayi

Faktor penting yang harus dipertimbangkan ialah jenis makanan, berapa kerap ia diambil dan berapa lama makanan tersebut berada di persekitaran gigi di dalam mulut.

Cairan seperti jus buah-buahan, susu ibu, susu lembu, susu formula dan air bergas mengandungi gula tersembunyi. Sekiranya gigi tidak dibersihkan dengan cara yang betul, plak akan terbentuk.

Gula yang berada di persekitaran gigi akan dicernakan oleh bakteria yang berada di dalam plak dan mengeluarkan asid yang menyebabkan gigi kanak-kanak mereput atau rosak.

Sekiranya anak anda mempunyai tabiat menghisap botol sepanjang hari, pastikan botol tidak diisi dengan cairan atau jus bergula.

Setiap kali anak anda menghisap cairan bergula, asid akan terbentuk di dalam mulut dalam masa beberapa minit. Sekiranya cairan bergula dihisap berterusan, bayangkan asid akan sentiasa berada di dalam mulut dan proses pereputan sentiasa berlaku selama 24 jam! Ibu bapa patut menghadkan pengambilan jus bergula pada waktu makan tengah hari atau makan malam sahaja.

Di antara waktu tersebut, cuba isi botol anak anda dengan air masak atau susu. Ibu bapa seharusnya cuba berusaha mengelakkan anak anda dari tidur dengan menghisap botol susu kerana air susu akan berkumpul dengan lama di dalam mulut anak anda dan ini boleh menyebabkan kerosakan gigi dengan cepat. Jika terpaksa, cuba secara perlahan-lahan cairkan kandungan susu di dalam botol dan akhirnya isi botol dengan air masak sahaja.

Notis:

Disarankan kepada yang mengalami masalah kesihatan, anda perlulah mendapatkan nasihat dan rawatan lanjut terlebih dahulu daripada pakar perubatan di pusat-pusat perubatan terdekat.

Sebarang penulisan di blog ini adalah hanya bertujuan sebagai maklumat dan bukan untuk merawat penyakit. Kami tidak bertanggungjawab untuk sebarang kecederaan atau kerugian yang dialami hasil daripada maklumat kami keluarkan.

POPULAR

TERKINI

KATEGORI