Biasanya buku pink ini boleh dibuka sebaik sahaja ibu yakin bahawa dirinya hamil sehingga sebelum berakhirnya trimester pertama. Jika anda terlewat untuk membuat buku pink, anda akan dilabel sebagai ‘late booking’.
Bagaimana untuk yakin bahawa diri mengandung? Sudah tentulah dengan melakukan ujian menggunakan kit kehamilan di rumah.
Anda perlu mengenal pasti Klinik Kerajaan atau Klinik Kesihatan Ibu & Anak (KKIA) yang berdekatan dengan alamat tempat tinggal semasa.
Untuk mereka yang pertama kali ke KKIA bagi pemeriksaan pranatal dan membuka buku pink, pastikan anda membawa bersama dokumen-dokumen berikut:
▪️Kad pengenalan diri
▪️Kad pengenalan suami
▪️Gambar ukuran passport anda dan pasangan
▪️Sijil nikah
▪️Bil air/elektrik rumah untuk pengesahan alamat
▪️Surat rujukan doktor atau klinik lain – jika ada
Sebelum buku pink ini dapat dikeluarkan oleh KKIA dan diserahkan kepada ibu, berikut adalah prosedur yang perlu ibu lalui di klinik:
1️⃣ Jururawat akan mengukur berat dan tinggi ibu, serta merekodkan kesihatan ibu berdasarkan maklumat yang diperlukan – seperti kitaran haid, masalah dan sejarah perubatan lampau.
2️⃣ Kiraan Tarikh jangkaan bersali (EDD) berdasarkan kiraan tarikh hari pertama haid terakhir
3️⃣ Ujian air kencing bagi mengesan kandungan protein dan gula dalam air kencing.
4️⃣ Pemberian suplement prenatal seperti vitamin C, B kompleks, asid folik dan zat besi.
5️⃣ Janji temu seterusnya bagi memantau kesihatan ibu dan bayi di dalam kandungan.
Setelah selesai, ibu akan diberikan buku pink yang akan merekodkan segala perkembangan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan (prenatal) sehingga kelahiran (post-natal). Ini termasuklah temujanji seterusnya di KKIA dan hospital – kerajaan atau swasta mengikut pilihan ibu.