APABILA seseorang tiba-tiba diserang sawan, ada orang di sekelilingnya memberikan kain atau sudu untuk digigit pesakit supaya tidak tambah teruk atau mengelak kancing gigi.
Namun tanpa disedari, perbuatan lebih memudaratkan berikutan air liur terkumpul atau lidah pesakit tertolak ke kerongkong hingga menjejaskannya bernafas.
Epilepsi adalah gangguan otak apabila sel-sel saraf dalam otak kadang-kala mengeluarkan isyarat yang luar biasa. Corak aktiviti neuron terganggu dan menjejaskan perasaan, tingkah laku dan emosi atau kadang-kala menyebabkan kejang otot dan pengsan.
Seseorang yang mengalami sawan tidak bermakna ia mempunyai epilepsi. Sekiranya seseorang kerap mengalami sawan (dua atau lebih) dikenalpasti mempunyai epilepsi.
Epilepsi tidak berjangkit dan tidak disebabkan oleh penyakit atau kemerosotan mental.Ia juga boleh dikawal, namun sesetengahnya sembuh dengan sendiri.
Epilepsi berpunca dari pelbagai faktor. Sebarang gangguan pada aktiviti normal neuron samada penyakit mahupun kecederaan otak boleh menyebabkan sawan.
Sebahagian besar sawan tidak diketahui puncanya.
Punca epilepsi:
✅ Faktor-faktor genetik
✅ Kecederaan pranatal (sebelum kelahiran) dan masalah tumbesaran
✅ Cedera di otak
✅ Keracunan
✅ Tumor otak
✅ Pengambilan alkohol berlebihan
✅ Penyakit Alzheimer
✅ Angin ahmar (strok)
✅ Jangkitan otak
Serangan sawan juga boleh berlaku jika kurang tidur, meminum alkohol, stres atau mengalami perubahan hormon yang berkaitan dengan haid.