Anda mungkin sudah memperoleh hasil keputusan positif waktu melakukan UPT di rumah. Walau bagaimanapun, apabila tiba di klinik atau hospital, berkemungkinan besar doktor akan mencadangkan untuk anda menjalani ujian darah.
Apakah yang dimaksudkan dengan ujian tersebut dan mengapa anda perlu menjalaninya?
Umumnya, ujian kehamilan yang dilakukan di rumah anda adalah untuk mengukur tahap hormon hCG dalam air kencing.
Doktor mencadangkan untuk anda melakukan ujian darah kerana ia lebih sensitif dan boleh memberikan lebih banyak maklumat berbanding ujian pengesan melalui air kencing yang dibuat di rumah.
Ujian pengesanan kehamilan melalui darah ini paling terbaik untuk dilakukan setelah beberapa hari lewat daripada waktu anda sepatutnya mengalami haid.
Jika ujian yang dilakukan di rumah tetap memberikan hasil keputusan negatif walaupun anda mengalami semua tanda kehamilan, cadangan terbaik adalah untuk melakukan ujian darah ini.
Ujian darah yang dilakukan bagi mengesan kehamilan adalah paling menyakinkan kerana ia bersifat kuantitatif dengan menentukan jumlah hormon hCG secara lebih tepat.
Melalui ujian darah ini, ia dapat memberitahu doktor jika anda hamil atau anda perlu melakukan ujian lain dalam tempoh beberapa hari. Doktor akan menyarankan melakukan ujian darah jika anda pernah mengalami kehamilan ektopik atau keguguran pada kehamilan lepas.