Membuat persediaan untuk menyambut kelahiran bayi anda adalah sesuatu yang menggembirakan dan ia adalah masa yang sibuk.
Sebelum mengambil keputusan tentang jenis penyusuan untuk bayi anda, beri pertimbangan kepada penyusuan susu ibu kerana ia memberi kebaikan kepada ibu dan anak.
Untuk mendapatkan segala kebaikan penyusuan susu ibu, anda digalakkan memberi susu ibu sepenuhnya sehingga bayi berumur 6 bulan dan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.
Pemberian susu ibu sepenuhnya bermaksud bayi tidak diberi makanan atau minuman tambahan yang lain selain daripada susu ibu.
Kebaikan Susu Ibu Untuk Bayi Anda :
✅ Membekalkan nutrien yang terbaik untuk bayi anda.
✅ Susu ibu, terutamanya kolostrum , menguatkan sistem imuniti bayi anda.
✅ Mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi.
✅ Susu ibu mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak. Ia membantu dalam meningkatkan kecerdikan anak anda.
✅ Ia tidak mudah tercemar dibandingkan dengan cara penyusuan lain.
✅ Susu ibu mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa. Oleh itu ia tidak susah untuk disediakan.
✅ Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi.
✅ Ia memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.
Untuk ibu, penyusuan susu ibu :
✅ Membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
✅ Membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat.
✅ Mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
✅ Menjarakkan kelahiran jika mengamalkan penyusuan ibu secara sepenuhnya.