MAK..SAYA TAK NAMPAK!

Jangan ambil mudah jika anak-anak kita mengeluh “mak, saya tak boleh nampak tulisan di papan hitam”. Ibu bapa perlulah mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku situasi seperti ini.

Ramai ibu bapa terkejut apabila diberitahu bahawa anak mereka rabun dan perlu memakai cermin mata. “Macam mana pula boleh berlaku sebab kami suami isteri tak pernah pakai cermin mata?”

Ada pula ibu bapa yang melengah-lengahkan pemakaian cermin mata dengan alasan, “Anak saya kecil lagi, tunggulah dia besar sikit”.

Ada pula yang berpendapat jika lebih awal memakai cermin mata, maka lebih cepat kuasa cermin mata bertambah. Andaian-andaian sebegini adalah tidak benar kerana ia boleh memburukkan lagi tahap penglihatan anak anda.

Sekiranya anak anda didapati rabun dan perlu memakai cermin mata, maka bertindaklah dengan segera bagi mengelakkan terjadinya ‘mata malas’.

‘Mata malas‘ bermaksud penglihatan yang tidak dapat dibaiki meskipun setelah memakai cermin mata yang sesuai. ‘Mata malas’ boleh berlaku pada satu atau kedua-dua belah mata.

Sekiranya terapi penglihatan diberikan segera sebelum usia anak menjangkau 7 tahun, keadaan ‘mata malas’ ini mungkin boleh dipulihkan.

Sekiranya dibiarkan tanpa pemakaian cermin mata/kanta lekap yang sesuai atau terapi penglihatan, mungkin mata tersebut akan terus menjadi lemah dan lama-kelamaan ia mungkin tidak dapat berfungsi lagi.

Antara punca yang menyumbang kepada kabur penglihatan ialah :

✅ Rabun
✅ Juling
✅ Katarak kongenital
✅ Kelopak mata jatuh (ptosis)
✅ Penyakit mata

Oleh itu ibu bapa perlu peka akan perilaku anak-anak mereka yang menunjukkan tanda-tanda bahawa anak mereka mempunyai masalah penglihatan.

Notis:

Disarankan kepada yang mengalami masalah kesihatan, anda perlulah mendapatkan nasihat dan rawatan lanjut terlebih dahulu daripada pakar perubatan di pusat-pusat perubatan terdekat.

Sebarang penulisan di blog ini adalah hanya bertujuan sebagai maklumat dan bukan untuk merawat penyakit. Kami tidak bertanggungjawab untuk sebarang kecederaan atau kerugian yang dialami hasil daripada maklumat kami keluarkan.

POPULAR

TERKINI

KATEGORI