
Ada pelbagai punca serta penyebab yang boleh mengakibatkan seseorang itu menghidap kanser serviks. Kanser serviks berlaku apabila sel pada bahagian serviks mengalami perubahan ataupun mutasi pada DNA di dalam sel.
Mutasi ini menyebabkan sel membesar dan membahagi secara abnormal. Kemudiannya, sel tersebut akan membentuk tumor ataupun merebak (metastasis) ke bahagian badan yang lain.
Risiko kebarangkalian seseorang wanita menghidapi barah pangkal rahim boleh dibahagikan kepada risiko yang boleh dikawal seperti merokok dan faktor risiko tidak boleh dikawal seperti umur dan sejarah keluarga.
Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko wanita mendapat barah pangkal rahim :
Jangkitan Human Papilloma Virus (HPV)
Faktor risiko utama mendapat barah pangkal rahim ialah jangkitan HPV. HPV dibawa dari individu ke individu yang lain melalui hubungan seks. Faktor yang meningkatkan risiko tercemar dengan HPV adalah aktif dalam aktiviti seksual pada usia yang muda, mempunyai ramai pasangan seks dan / atau hubungan seksual dengan lelaki yang ada ketuat di penis.
Jangkitan Human Immunodeficiciency Virus (HIV)
Wanita yang dijangkiti dengan HIV berisiko untuk mendapat barah pangkal rahim.
Herpes
Wanita yang mendapat jangkitan virus herpes pada bahagian kemaluan berisiko tinggi mendapat barah pangkal rahim.
Ubatan
Anak perempuan kepada ibu yang mengambil ubat Diethylstilboestrol (DES) semasa hamil untuk mengelakkan keguguran kandungan berisiko mendapat barah pangkal rahim.
Merokok
Meningkatkan risiko barah pangkal rahim sebanyak empat kali ganda.