TERLALU KECIL UNTUK PAKAI CERMIN MATA ?

Apabila seseorang kanak-kanak itu memerlukan cermin mata, memang mereka memerlukannya! Jangan beranggapan bahawa kanak-kanak terlalu kecil untuk memakai cermin mata!

Sekiranya terdapat gangguan penglihatan dan boleh diperbetul dengan memakai cermin mata walaupun penglihatan tidak dapat dibaiki sepenuhnya, tidak ada alasan untuk tunggu lagi… Usia sekecil mana sekali pun boleh belajar memakai cermin mata.

1️⃣ Mengapa Perlu Memakai Cermin Mata?

Bayi atau kanak-kanak memerlukan cermin mata untuk membaiki rabun jauh, rabun dekat, astigmatism atau bagi sesetengah kes juling. Selain itu, cermin mata dapat mengelakkan daripada penglihatan menjadi lebih teruk serta mata malas.

2️⃣ Bilakah Kanak-Kanak Boleh Mula Memakai Cermin Mata?

Kanak-kanak boleh mula memakai cermin mata seawal umur 1 tahun. Bagi perkembangan bola mata yang sihat, imej yang jelas perlu terbentuk di retina mata.

3️⃣ Apa Akan Terjadi Sekiranya Tidak Memakai Cermin Mata Awal?

Perkembangan sistem penglihatan bayi dan kanak-kanak bermula dari lahir sehingga umur lebih kurang  8 tahun. Sekiranya bayi atau kanak-kanak mengalami rabun pada usia sebelum 8 tahun dan tidak diperbaiki dengan cermin mata, perkembangan penglihatan normal akan terjejas.

4️⃣ Adakah pemakaian cermin mata akan mengakibatkan penglihatan anak saya menjadi lebih teruk dan akan terlalu bergantung kepada pemakaian cermin mata?

Tidak. Pendapat sebegini tidak benar sama sekali. Sekiranya kanak-kanak tidak memakai cermin mata sepertimana yang dicadangkan, perkembangan penglihatan normal akan terjejas dan boleh mengakibatkan mata malas atau penglihatan terhad.

5️⃣ Adakah anak saya berkemungkinan memakai cermin mata sekiranya saya memakai cermin mata atas faktor keturunan?

Ya,sekiranya ibu bapa memakai cermin mata, anak anda juga mungkin memerlukan cermin mata.

6️⃣ Bagaimana optometris menentukan tahap penglihatan dan kuasa cermin mata bagi golongan bayi dan kanak-kanak kecil?

Tidak dapat dinafikan bahawa adalah sukar untuk mengukur tahap penglihatan bayi atau kanak-kanak terutama di bawah umur 4  tahun. Walau bagaimanapun, optometris boleh menilai tahap penglihatan dan kuasa cermin mata secara objektif menggunakan peralatan tertentu.

Notis:

Disarankan kepada yang mengalami masalah kesihatan, anda perlulah mendapatkan nasihat dan rawatan lanjut terlebih dahulu daripada pakar perubatan di pusat-pusat perubatan terdekat.

Sebarang penulisan di blog ini adalah hanya bertujuan sebagai maklumat dan bukan untuk merawat penyakit. Kami tidak bertanggungjawab untuk sebarang kecederaan atau kerugian yang dialami hasil daripada maklumat kami keluarkan.

POPULAR

TERKINI

KATEGORI