Setiap wanita adalah berbeza dan apabila berbicara mengenai mengandung, pastinya setiap individu mempunyai proses kehamilan yang sedikit berbeza. Namun begitu, terdapat beberapa perubahan yang akan berlaku pada tubuh badan setiap wanita apabila mereka hamil.
1️⃣ Sakit pada bahagian payudara
Jika payudara anda mula berasa sakit dan sensitif, ini merupakan tanda-tanda kehamilan peringkat awal. Ketika ini, bahagian sekeliling puting (areola) anda juga akan menjadi lebih besar dan gelap.
2️⃣ Keletihan
Keletihan ini kebiasaannya akan berlaku satu minggu selepas wanita itu hamil. Oleh itu, anda perlu berehat dengan secukupnya.
3️⃣ Sukar mengawal emosi
Ketika awal kehamilan, emosi anda mungkin sukar untuk dikawal dan anda mudah tertekan. Ini disebabkan oleh perubahan neurotransmitter yang berlaku akibat perubahan hormon dalam tubuh badan anda.
4️⃣ Pening kepala
Sesetengah wanita mungkin akan mengalami tanda awal mengandung 1 minggu seperti pening kepala malahan ada juga yang boleh menyebabkan pitam. Ini disebabkan oleh perubahan hormon atau tekanan darah yang rendah.
5️⃣ Perubahan selera makan
Kebanyakan wanita akan mengalami perubahan pada deria baunya. Ketika trimester pertama, ada wanita yang mula mengidam sesuatu yang pelik seperti sesuatu yang mempunyai rasa besi atau tembaga.
6️⃣ Muntah-muntah
Gejala ini boleh berlaku tanpa mengira waktu terutamanya waktu pagi. Namun begitu, ada juga wanita yang tidak akan mengalaminya. Punca sebenar ini berlaku masih tidak dapat dipastikan namun disyaki berkait rapat dengan perubahan hormon kehamilan.
7️⃣ Kerap membuang air kecil
Kebiasaannya akan berlaku sekitar 6 atau 8 minggu selepas anda hamil. Buah pinggang anda mula memproses urin dengan lebih aktif semasa kehamilan. Rahim anda pula akan memberi lebih tekanan kepada pundi kencing anda yang akan menyebabkan anda lebih kerap terasa ingin membuang air kecil.
8️⃣ Kekejangan dan pendarahan
Kekejangan dan pendarahan mungkin akan berlaku sebelum waktu anda datang bulan. Ini merupakan petanda persenyawaan telur anda dengan sperma telah berlaku dan mula melekat pada dinding rahim.
9️⃣ Tidak datang haid
Ini merupakan petanda paling jelas yang menunjukkan kehamilan. Namun begitu, tidak semua kes tidak datang atau lambat datang haid disebabkan oleh kehamilan.