Strok adalah serangan otak dan terjadi apabila bekalan darah ke otak terganggu. Otak adalah pusat saraf tubuh, mengawal setiap yang kita lakukan atau fikirkan, di samping mengawal fungsi-fungsi automatik seperti pernafasan.
Untuk berfungsi, otak memerlukan bekalan darah berterusan yang membawa oksigen dan nutrien yang amat penting. Apabila saluran darah di dalam otak anda pecah ataupun tersumbat, bekalan darah akan terhenti dan sel-sel otak akan kekurangan oksigen dan nutrien.
Bahagian otak itu mula mati. Anda mengalami strok. Dengan pantas, Dengan senyap. Kerosakan otak menjejaskan deria-deria anda, pertuturan dan pemahaman bahasa. Sebelah tubuh mungkin lumpuh, sikap, corak pemikiran dan ingatan terubah.
Strok tidak terjadi tanpa amaran. Selalunya, ada tanda-tanda amaran. Dengan mengenali tanda-tanda ini dan mengambil tindakan segera untuk mendapatkan bantuan perubatan, anda boleh mengelakkan strok yang mendatang atau mengurangkan kesannya.
Gejala-gejala utamanya adalah :
1️⃣ Kelemahan atau merasa kebas mengejut di sebelah bahagian badan. Tanda-tanda ini mungkin muka yang meluyut, meleleh air liur, merasa lemah pada tangan atau kaki.
2️⃣ Kekaburan penglihatan pada sebelah atau kedua-dua mata secara tiba-tiba.
3️⃣ Kesukaran bertutur atau memahami pertuturan, atau pertuturan yang tidak jelas.
4️⃣ Pening, kehilangan imbangan, kekeliruan.
5️⃣ Sakit kepala yang teruk yang mengejut.
6️⃣ Rasa mual atau muntah.
4 Langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelak terkena strok adalah :
✅ Lebihkan pengambilan makanan yang berkhasiat seperti buah dan sayuran.
✅ Memeriksa tekanan darah secara berterusan.
✅ Mengekalkan berat badan yang ideal kerana obesiti adalah salah satu penyebab kepada penyakit strok.
✅ Aktif dalam melakukan aktiviti fizikal iaitu sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Contohnya : brisk walk, Tai Chi, senaman regangan dan senaman aktif.