Anda mungkin sering mendengar berkenaan serangan jantung secara tiba-tiba, namun adakah anda mengetahui penyebab penyakit ini ?
Penyakit ini berlaku apabila pembuluh darah (arteri) menjadi sempit akibat penyumbatan plak lemak dan kolesterol mengakibatkan aliran darah terganggu dan tidak boleh mengalir ke jantung. Otot jantung akan mengalami kekurangan oksigen dan menyebabkan “ischaemia”.
Jika penyumbatan pembuluh darah di tahap yang teruk (>75%) bekalan oksigen akan terhenti. Otot jantung yang terlibat akan mati. Ini boleh menyebabkan serangan jantung yang teruk dan boleh membawa kematian.
Keadaan ini dikenali sebagai Aterosklerosis yang menyebabkan Penyakit Arteri Koronari . Keadaan ini selalunya terjadi tetapi tidak disedari oleh ramai orang, meskipun telah meragut banyak nyawa. Aterosklerosis sebenarnya penyebab utama penyakit dan pembunuh nombor satu di dunia.
Darah mengalir melalui pembuluh darah (arteri) ke organ-organ penting seperti jantung dan otak. Plak kolesterol dalam arteri akan menyempitkan lumen dan mengganggu aliran darah. Ada ketika sumbatan ini boleh pecah dan menyebabkan pembentukan darah beku. Jika hal ini terjadi pada jantung, ia akan mengganggu aliran darah dan menyebabkan berlakunya serangan jantung.
Ramai pesakit, terutama yang berisiko tinggi tidak sedar akan adanya arterosklerosis terutama yang berisiko tinggi kerana tiada tanda awal tertentu yang boleh di kesan. Oleh itu saringan kolesterol adalah penting untuk intervensi awal.
Sayangnya, ramai orang tidak tahu bahawa kematian akibat aterosklerosis boleh dielakkan. Aterosklerosis menyebabkan 50% kematian pesakit akibat serangan jantung. Jika mereka dapat bertahan, 2 / 3 akan discaj dari hospital dengan kadar morbiditi yang tinggi dan 1 / 3 lagi boleh mengalami masalah lumpuh anggota badan akibat strok.