Keguguran adalah penyebab utama kegagalan kehamilan dan merupakan salah satu komplikasi paling lazim di awal kehamilan.
Dianggarkan 15% kehamilan akan berakhir dengan keguguran, dengan 25% wanita mengalami satu kali keguguran di sepanjang hayatnya. Keguguran boleh mengakibatkan komplikasi serius termasuk perdarahan, jangkitan malah kematian, terutama di negara berpendapatan rendah.
Keguguran umumnya didefinisi sebagai kehilangan spontan kehamilan sebelum 24 minggu gestasi. Kebanyakan keguguran berlaku dalam 14 minggu pertama dan dikenali sebagai keguguran awal.
Dalam kebanyakkan kes, ultra bunyi digunakan untuk memastikan kandungan tersebut masih bernyawa atau tidak (viable). Ultra bunyi juga penting dalam mengenalpasti lokasi kandungan itu (lihat ectopic pregnancy.
3 rawatan bagi keguguran adalah :
1️⃣ Pemerhatian (observation)
Kebanyakan ibu yang mengalami keguguran tidak memerlukan rawatan, baik rawatan perubatan atau pembedahan. Jika keguguran berlaku sebelum minggu ke-13, dan si ibu stabil (tidak tumpah darah yang banyak atau tidak dijangkiti kuman), cukup sekadar pemerhatian sahaja. Selalunya janin tersebut akan keluar dari rahim dalam masa seminggu dua. Ada kalanya mengambil masa 3 hingga 4 minggu selepas itu. Apabila kandungan itu keluar, doktor selalunya akan membuat ultra bunyi untuk melihat tiada bahagian janin yang masih tertinggal di dalam rahim (incomplete miscarriage).
2️⃣ Rawatan perubatan
Sesetengah kes, doktor akan memberi ubat pil untuk dimakan atau masukkan ke dalam faraj untuk mengeluar kandungan yang telah keguguran tersebut .
3️⃣ Rawatan Pembedahan
Prosedur ini dinamakan dilatation & curettage (D&C). Doktor akan membuka (dilatation) pangkal rahim (servik) dan membuat curettage (cuci) dalam rahim bagi mengeluarkan janin yang telah keguguran tersebut. D&C dilakukan jika si ibu tidak mahu menunggu janin keluar secara spontan ataupun terdapat banyak pendarahan atau jangkitan berlaku. Suatu kaedah lagi yang boleh digunakan adalah “MVA”, iaitu “Manual Vacuum Aspiration” atau kaedah menyedut janin yang agak mudah dilakukan.