Bila memikirkan tentang penjagaan gigi susu, adalah amat penting untuk mengambil kira bahawa gigi susu memegang ruang untuk gigi kekal yang bakal tumbuh.
Sekiranya gigi susu rosak dan terpaksa dicabut awal, ruang yang dikhaskan untuk gigi kekal akan hilang dan ruang itu hanya boleh diperolehi semula melalui rawatan ortodontik.
Pembersihan gigi susu bayi harus dimulakan sebaik sahaja gigi susu tumbuh walaupun anak anda hanya minum susu ibu atau susu formula sahaja.
Caranya ialah dengan menyapu sedikit ubat gigi berfluorida ke atas kain lembut atau berus gigi bayi dan kemudian disapukan ke atas gigi bayi.
Setelah gigi geraham susu mula tumbuh, anda boleh menukar ke berus gigi kanak-kanak yang lembut dan menggunakan ubat gigi berfluorida sebesar biji kacang pea. Jangan lupa untuk mencuci lidah dan gusi di mana bakteria bersembunyi dan menyebabkan mulut berbau. Lakukan 2 kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam sebelum tidur.
Mencuci gigi dan mulut atau berkumur juga disyorkan pada setiap kali selepas bayi mengambil makanan.
Bilakah anda boleh membiarkan anak anda memberus giginya sendiri ?
Sebenarnya, anak anda tidak pandai memberus gigi dengan betul sehingga ia mula pandai menulis dan mula bersekolah.
Walau bagaimanapun, adalah baik jika anda memberi anak anda memberus giginya sendiri jika dia mahu. Tetapi setelah itu pastikan anda memeriksa dan memberuskan giginya sekali lagi jika perlu.
Berikan pujian kepada anak anda jika dia pandai memberus gigi dan beritahu jika dia tidak memberus di beberapa bahagian gigi. Tunjukkan cara yang betul secara berterusan sehingga anak anda pandai memberus gigi dengan baik.