Jika anda mengelak daripada makan makanan sejuk atau minum minuman panas kerana gigi anda sensitif, mungkin sudah tiba masanya untuk merungkai keadaan yang menyakitkan ini.
Gigi sensitif ialah rasa ketidakselesaan atau sakit pada gigi. Gigi sensitif berlaku apabila lapisan luar yang melindungi gigi, iaitu enamel atau cementum terhakis hingga menyebabkan pendedahan lapisan dentin.
Dentin terdiri daripada lubang-lubang kecil yang dipanggil tubul. Di hujung tubul-tubul ini terkandung cabang saraf yang berasal dari pulpa gigi (pusat saraf gigi).
Apabila lapisan dentin yang terdedah ini bersentuh dengan sesuatu yang sejuk contohnya, cabang saraf di dalam gigi akan distimulasikan dan ini menyebabkan kesakitan gigi sensitif.
Rasa ngilu atau sakit dirasakan apabila lapisan dalam gigi iaitu lapisan dentin disebabkan gusi yang menyusut terdedah kepada:
✅ Pengambilan makanan atau minuman panas, sejuk, manis atau masam
✅ Memberus gigi
✅ Bernafas melalui mulut
Gigi sensitif juga boleh disebabkan oleh perkara-perkara berikut:
1️⃣ Memberus gigi terlalu kuat dengan teknik yang salah sehingga mencederakan gusi dan mendedahkan akar gigi.
2️⃣ Penyakit gusi, iaitu penyakit yang menyerang gusi dan tulang yang menyokong gigi juga boleh menyebabkan gigi sensitif.
3️⃣ Pendedahan lapisan dentin yang disebabkan oleh kehausan permukaan gigi yang berlaku secara aktif.
4️⃣ Mengetap dan mengasah gigi boleh menghakis lapisan enamel dan mendedahkan lapisan dentin
5️⃣ Memakan makanan dan minuman yang berasid dengan kerap, seperti buah-buahan dan jus yang masam, serta minuman bergas yang boleh menyebabkan hakisan lapisan permukaan gigi.
6️⃣ Gigi berlubang yang tidak dirawat.
7️⃣ Tampalan lama pada gigi yang telah retak atau renggang.
8️⃣ Pembedahan gusi yang mendedahkan akar gigi. Proses pemutihan gigi juga boleh menyebabkan gigi sensitif.