Keperluan penjagaan bergantung kepada keadaan dan tahap keseriusan pramatang seseorang bayi.
Penjagaan am adalah diperlukan untuk semua bayi pramatang :
1️⃣ Pengawalan suhu badan – Perlu dirawat di dalam inkubator atau di bawah pemanas radian
2️⃣ Pemantauan tahap gula dalam badan – Untuk mengesan dan merawat tahap gula sama ada tinggi atau rendah.
3️⃣ Pembekalan nutrisi – Bayi yang hampir matang iaitu melebihi 35 minggu yang mana dalam keadaan sihat selalunya boleh diberi penyusuan ibu secara eksklusif. Untuk bayi yang lebih awal pramatang selalunya memerlukan susu formula sebagai nutrisi tambahan pada peringkat awal umurnya.
4️⃣ Mengelakkan daripada jangkitan- Mencuci tangan adalah perkara asas yang penting sebelum dan selepas merawat bayi.
Rawatan khas bergantung kepada keadaan bayi dan komplikasi yang dialami. Contohnya:
▪️ Ventilasi dan rawatan surfaktan untuk masalah pernafasan.
▪️ Pemantauan yang rapi untuk bayi yang menerima oksigen terapi.
▪️ Pemberian cairan dan elektrolit untuk bayi yang tidak sihat.
▪️ Parenteral nutrisi (Nutrisi yang diberi terus ke dalam saluran darah) diberi kepada bayi yang tidak boleh menerima susu melalui usus. Perahan susu badan atau susu formula selalunya diberi melalui tiub orogastrik kepada bayi pramatang yang mana boleh menerima susu secara enteral.
▪️ Antibiotik diberi sekiranya disyaki atau ada jangkitan.
▪️ Ultrasound dilakukan pada otak untuk mengesan dan merawat perdarahan dalam otak atau lain-lain yang tidak normal.
▪️ Saringan untuk penyakit retina mata (ROP), rawatan laser atau terapi crayo akan diberi pada bayi yang mempunyai masalah mata yang serius.
▪️ Bayi yang mempunyai penyakit paru-paru yang kronik dan boleh dirawat di rumah, bekalan oksigen perlu disediakan di rumah.